Pejabat Bendahari Universiti Teknologi MARA merupakan nadi utama pengurusan kewangan bagi seluruh sistem Universiti seperti mana yang termaktub di dalam Akta UiTM 173 (Pindaan 2000).

Pada peringkat awal penubuhan Institut Teknologi MARA, Pejabat Bendahari (pada ketika itu dipanggil Bahagian Kewangan) telah diwujudkan untuk mengendalikan urusan kewangan Institut iaitu urusan penerimaan bayaran yuran pengajian / sumbangan daripada pelajar, pembayaran elaun kepada pelajar, pembayaran gaji dan tuntutan staf, pengurusan pembelian barang /perkhidmatan /kerja, pengurusan harta dan pengurusan akaun. Semua pengurusan dibuat secara berpusat di Pejabat Bendahari, Institut Teknologi MARA, Shah Alam.

Dari tahun ke tahun selaras dengan perkembangan ITM dari Maktab RIDA dalam tahun 1956 kepada Institut Teknologi MARA dalam tahun 1967 dan seterusnya mendapat status Universiti pada 26 Ogos 1999, skop tugas Pejabat Bendahari turut diperluaskan. Keadaan ini telah membenarkan penubuhan Pejabat Bendahari di setiap Kampus Cawangan yang ditubuhkan dan Unit Kewangan Zon di UiTM Shah Alam.